Individu dan Masyarakat[1]
`Izzat Anwari bin Hasni
Sains Dengan Pendidikan
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Universiti Sains Malaysia
Muqaddimah
Individu dan masyarakat merupakan dua unsur yang membina antara satu sama lain. Jika salah satunya diabaikan, maka satu lagi itu pasti akan terabai juga. Namun konsep individu lebih ditekankan kerana seseorang individulah yang membentuk sesebuah masyarakat.
Malah, individu juga seharusnya dididik supaya mengenali serta membantu masyarakat di sekelilingnya. Setiap individu dalam sesebuah masyarakat tidak sepatutnya mengabaikan sifat kemasyarakatan dalam diri mereka sehingga boleh menumbuhkan sifat individualistik yang subur.
Sifat kemanusiaan secara fitrahnya menyebabkan seseorang individu membantu masyarakat di sekelilingnya untuk membina sebuah sistem kehidupan yang baik tetapi sifat kemanusiaan itu jugalah mentafsir kebaikan dalam pelbagai maksud yang sangat berbeza antara satu sama lain.
Oleh yang demikian, manusia seringkali bertelagah tentang persoalan bagaimana mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Islam sudah pun menjawab persoalan ini sejak sekian lama, namun, masih ada manusia-manusia yang menafikan keadilan sosial serta konsep masyarakat yang dibawa oleh Islam ini akibat keangkuhan dan pendustaan yang dibawa oleh sesetengah pihak yang berkepentingan. Maka, hari ini, timbulkan pelbagai maksiat atas pelbagai jenama.
Diri Manusia Sebagai Ujian
Tujuan manusia dijadikan oleh Allah s.w.t. hanyalah semata-mata untuk beribadat kepada-Nya. Firman-Nya:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”[2]
Namun umat Islam hari ini kurang memahami konteks ibadat yang dimaksudkan. Pemaknaan ibadat sebagai ibadah ritual semata-mata (solat, puasa, dsb) yang dipopularkan dan ditanamkan dalam pemikiran masyarakat melalui saluran media menyempitkan lagi pemahaman Islam secara benar dan menyeluruh dalam kehidupan seharian. Buktinya, hari ini kebanyakan umat Islam hanya mengamalkan cara hidup Islam secara meluas dalam acara tertentu sahaja seperti dalam bulan Ramadhan.
Ibadat sebenarnya merangkumi keseluruhan hidup manusia sejak dari azali hinggalah saat menemui Penciptanya di Akhirat kelak. Perkataan ‘ibādāt (عبادات) merujuk kepada segala perbuatan, amalan atau perkhidmatan yang disedari dan dilakukan dengan sukarela dan yang ditujukan kerana dan kepada Allah s.w.t. semata-mata.[3] Setiap amalan merupakan ibadat jika dan hanya jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. tanpa menyekutukan-Nya dengan mana-mana makhluk:
Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”[4]
Ibadat seorang manusia sebagai hamba kepada Allah s.w.t. juga merangkumi tanggungjawab sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. untuk mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?.” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”[5]
Allah s.w.t. juga secara terang dan jelas menyatakan di dalam al-Qur’ān tiga konsep teras buat manusia untuk menjadi seorang hamba dan khalifah yang diredhai-Nya:
Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”[6]
Maka, manusia diutuskan oleh Allah s.w.t. di atas muka bumi ini sebagai satu ujian sama ada mereka mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam mendukung tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah:
Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”[7]
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”[8]
Bermulanya Masyarakat
Kehidupan manusia di dunia ini bermula setelah Adam a.s. dan Hawa turun ke bumi. Sejak pertemuan semula Adam a.s. dan Hawa di Muzdalifah, manusia mula membentuk satu kompleks hubungan yang dinamakan sebagai masyarakat. Kehidupan bermasyarakat inilah yang membentuk satu sistem sosial yang berkembang dari semasa ke semasa. Pertambahan kuantiti manusia yang mempunyai kepelbagaian pemikiran dan sifat peribadi menjadikan sistem sosial semakin lama semakin bertambah rumit. Maka, Allah s.w.t. mengutuskan para Nabi dan Rasul sebagai penyampai ayat-ayat-Nya supaya manusia dapat membina hidup yang lebih baik serta mengingatkan mereka akan tujuan penciptaan mereka di dunia ini. Pembaikan kehidupan ini lebih tepat lagi disebut sebagai kehidupan menuju redha Allah s.w.t.
Kisah-kisah tentang kehidupan manusia terdahulu terutamanya Bani Israel banyak difirmankan Allah s.w.t. di dalam al-Qur’ān sebagai tauladan buat umat manusia hari ini. Kisah-kisah ini merupakan petunjuk dan pedoman Allah s.w.t. kepada umat manusia dalam membentuk sebuah sistem kehidupan masyarakat yang lestari serta baik. Malangnya, kebejatan sosial dan kejatuhan nilai kemanusiaan hari ini, jika direnung dengan mendalam, merupakan kesilapan yang sama yang dilakukan oleh umat terdahulu tatkala mereka membelakangkan ayat-ayat Allah s.w.t. walaupun setelah berkali-kali Allah s.w.t. menurunkan bala bencana dan amaran-Nya.
Maka, tugasan para Nabi dan Rasul terdahulu ialah memandu manusia supaya kembali kepada Allah s.w.t. sebagai sebenar-benar hamba. Tugasan inilah yang dinamakan sebagai dakwah.
Individu Komponen Utama Masyarakat
Diri manusia iaitu individu merupakan komponen asas dalam masyarakat. Masyarakat barat komponen asasnya ialah individu-individu barat, masyarakat asli komponen asasnya ialah individu-individu asli, malah masyarakat yang zalim asasnya ialah individu-individu yang zalim. Komponen asas inilah yang membentuk sistem sosial sesebuah masyarakat itu. Baiknya individu, maka akan baiklah masyarakatnya.
Namun, harus dipandang dengan realiti bahawa sesebuah masyarakat itu mempunyai pelbagai watak. Percampuran antara individu jahat serta baik memungkinkan masyarakat tersebut menjadi masyarakat yang jahat atau baik. Ini bukanlah satu alasan untuk membiarkan masyarakat yang didiami memilih sama ada menuju ke arah masyarakat yang jahat atau baik, tetapi satu pilihan buat setiap individu di dalamnya untuk menentukan sama ada masyarakat itu menuju ke arah masyarakat yang jahat atau baik. Pilihan inilah yang disebut juga sebagai perjuangan.
Individu yang langsung tidak berbuat apa-apa tatkala keburukan atau kemungkaran berlaku di depan mata sebenarnya telah memilih untuk ‘berjuang’ membawa masyarakatnya ke arah masyarakat yang jahat. Sikap ini sudah pun sebati dalam kebanyakan masyarakat barat hari ini sehingga sifat individualistik tertanam subur dalam kehidupan mereka. Ini terbukti setelah gaya hidup liar dan keji diterima pakai oleh mereka sehingga perkara tersebut dianggap normal. Budaya gay dan lesbian, sumbang mahram, perjudian dalam berbagai wajah, penjualan dadah dan senjata yang berleluasa, sistem riba’ yang menindas, kegilaan terhadap hiburan yang menjijikan, ketagihan kuasa dan nama, mengejar kepopularan hidup pada pandangan manusia, dan sebagainya menjadi darah daging mereka.
Individu yang baik pula akan memilih untuk berjuang membawa masyarakatnya ke arah masyarakat yang baik. Pembaikan dalam masyarakat perlu dilakukan secara berterusan supaya tiada langsung ruang kecil yang boleh menumbuhkan unsur-unsur yang merosakkan sistem hidup sesebuah masyarakat. Pembaikan ini sewajarnya dilakukan bersama-sama untuk memudahkan perjuangan dan merealisasikan tujuan kerana sesebuah masyarakat itu bukan hidup sebagai seorang individu sahaja. Walaupun akan ada individu-individu jahat di dalam masyarakat tersebut, ini bukanlah satu penghalang untuk menjadi masyarakat yang baik, tetapi satu perjuangan membawa masyarakat ke arah yang lebih baik. Apa ertinya sebuah perjuangan jika tiada halangan atau cabaran? Individu-individu yang berjuang di dalam sesebuah masyarakat juga sebenarnya telah membina ‘masyarakat’ perjuangan mereka sendiri di dalamnya. ‘Masyarakat’ ini lebih sinonim dikenali sebagai gerakan.
Memandu Masyarakat
Apa yang membezakan gerakan pembaikan sesebuah masyarakat itu ialah tempat yang ingin ditujui. Sebagai umat Islam, kita harus jelas tujuan utama hidup di dunia ini supaya tujuan tersebut tidak tersasar daripada hakikat sebenar penciptaan kita oleh Allah s.w.t. sejak azali. Tujuan hidup inilah yang selalunya membezakan antara sesebuah gerakan dan sesebuah masyarakat.
Tidak salah untuk menerima pakai idealisma-idealisma kemasyarakatan yang lain seperti sosialis. Idea-idea ini kebanyakannya membela nasib masyarakat marhaen. Penerimaan ideologi luar dari Islam tetapi selari dengan tujuan pembaikan masyarakat boleh diterima, malah ini menunjukkan keadilan Islam itu sendiri. Firman Allah s.w.t.:
Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”[9]
Namun harus diberi perhatian sepenuhnya bahawa Islam sama sekali menolak unsur-unsur kebebasan hidup terutama apabila menyentuh perkara berkaitan aqidah. Keadilan Islam membenarkan penerimaan unsur lain yang benar, tetapi umat Islam zalim sekiranya unsur lain itu lebih diterima pakai sehingga membelakangkan ajaran Islam itu sendiri. Ini kerana Islam mempunyai unsur ketuhanan yang mutlak sehingga manusia sendiri terbatas pemikirannya. Tetapi sejarah telah membuktikan dengan terang bahawa Islam telah membawa manusia yang hampir-hampir terjatuh ke jurang kesengsaraan ke arah kesejahteraan.
Oleh itu, pemanduan masyarakat ini harus dilakukan berdasarkan al-Qur’ān dan al-Sunnah. Dan pemanduan ini membawa tiga teras utama hidup di dunia seperti yang telah diterangkan dalam surah Āl ‘Imrān ayat ke-110.
Masyarakat Sebagai Individu
Peranan individu dalam masyarakat sudah diterangkan di atas. Bagaimana nasib sesebuah masyarakat itu bergantung kepada bagaimana individu-individu di dalamnya. Perubahan-perubahan dalam sesebuah masyarakat bertitik tolak daripada perubahan-perubahan yang dilakukan oleh mereka sendiri. Firman-Nya:
…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”[10]
Masyarakat harus dipandang sebagai satu individu di mana kerosakan atau kebaikan seseorang individu di dalamnya akan sama-sama dirasai oleh masyarakat tersebut. Bak kata pepatah, cubit peha kiri, sakit peha kanan. Mana-mana individu dalam sesebuah masyarakat perlu dianggap sebagai tanggungjawab yang wajib dipikul bersama. Jika kerosakan pada mana-mana bahagian masyarakat tidak diubati mahupun dicegah terlebih dahulu, maka ia akan merebak ke seluruh sistem hidup masyarakat tersebut. Persoalan jaga tepi kain orang langsung tidak dapat dipakai jika hal ini berlaku. Kemungkaran wajib ditangani, kebaikan wajib disebar walau apa pun jenis ‘kain’ individu lain yang ingin kita jaga.
Piagam Madinah yang dibuat setelah peristiwa Hijrah merupakan konsep kestabilan sistem sosial masyarakat dalam Islam yang paling tulen. Piagam bertulis yang pertama di dunia ini antaranya menyebut tentang hak kesamarataan yang nyata dalam Sahifah[11], Fasal 15 – Bahawa jaminan Allah s.w.t. adalah satu dan sama, dan bahawa orang-orang Islam itu melindungi orang yang lemah, dan hendaklah menjamin sesama sendiri. Dan dihujung fasal ini disebutkan juga, mereka itu adalah bantu-membantu pada ketika kepayahan dan kesukaran.[12]
Langsung tidak ada dalam mana-mana perlembagaan di dunia ini yang menekankan persoalan konsep bantu-membantu sesama manusia yang payah dan susah kecuali dalam Piagam Madinah!
Khatimah
Islam sangat menekankan persoalan kemasyarakatan yang sejahtera melalui keterangan dalam al-Qur’ān dan al-Sunnah. Kurangnya pendedahan ayat-ayat al-Qur’ān dan hadīth-hadīth yang membicarakan soal sistem sosial masyarakat dalam Islam kepada masyarakat di Malaysia menyebabkan banyak usaha-usaha pembaikan masyarakat hari ini sia-sia belaka. Usaha-usaha ini dijayakan atas niat yang benar, tetapi bergagaskan ilmu yang salah. Maka, pembaikan masyarakat sebegini kian parah malah lebih berbahaya.
Setiap individu dalam masyarakat seharusnya membawa kembali kefahaman manusia terhadap Islam dengan cara yang benar. Hanya dengan proses keilmuan Islam ini sahaja yang dapat membentuk sebuah sistem sosial masyarakat yang bersepadu menuju ke arah Tuhan Yang Satu. Usaha ini terbukti dengan jelas dalam sirah nabawi yang banyak menceritakan suasana kehidupan manusia di tanah Arab tatkala Islam datang kepada mereka dalam keadaan ‘dagang.’
Namun, usaha pembaikan ini terbantut apabila ada tangan-tangan yang memanipulasi Islam dan ilmu mengikut acuan nafsu mereka. Tidak hairanlah hari ini Islam dicemuh dan dilabel dengan nama-nama yang kurang sedap didengar. Malah, kefahaman orang lain terhadap Islam kian terpesong daripada makna yang sebenarnya.
Usaha pengembalian kefahaman ini perlu dilakukan bersama-sama oleh setiap umat Islam dalam memandu masyarakat ke arah kehidupan diredhai-Nya. Pemikiran sempit yang mentafsir Islam sebagai ritual atau politik semata-mata harus ditendang serta-merta. Usaha ini bukan mudah, tetapi tidak mustahil kerana Allah s.w.t. adalah kekuatan utama umat Islam. Wallahu‘alam.
* Baca juga Islam, Jantina dan Seks
[1] Dibentangkan di Kem Penggerak Masyarakat, Surau Taman Pondok Upeh, Balik Pulau, Pulau Pinang pada 11 Oktober 2008.
[2] QS al-Dhāriyāt 51:56
[3] Lihat, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islām: Faham Agama dan Asas Akhlak (ABIM, Kuala Lumpur: 1977) hal. 21.
[4] QS al-Bayyinah 98:5
[5] QS al-Baqarah 2:30
[6] QS Āl ‘Imrān 3:110
[7] QS al-Insān 76:2
[8] QS al-‘Ankabūt 29:2
[9] QS al-Mā’idah 5:8
[10] QS al-Ra‘d 13:11
[11] Kanun tingkahlaku atau piagam mengenai hak dan kewajipan pemerintah dan orang yang diperintah.
[12] Lihat, Prof Ahmad Ibrahim & Dzafir el-Qasimy, Piagam Madinah – Pandangan & Ulasan (Gelanggang Kreatif, Kuala Lumpur:1985) hal. 26.





hm….i like this article. its mean a lot
terfikir how to prevent nafsi2 (individualistik)lepas baca ni..
penyakit ni menyerang pelbagai lapisan masyarakat. penyakit yang menjadi punca kepada banyak masalah. masalah ekonomi, sosial, pendidikan ,alam sekitar dan lain2 lagi..kalau boleh further artikel ni dengan perincian tentang nafsi2 tu mcm menarik..maknanya bagaimana nak buang kalu dah ade sifat tu. then langkah berjaga2 kalau masih ade yang tak terkena penyakit nafsi2 ni. cerpen pasai nafsi2 pun menarik gak.study case ka..haaaa…sekadar cetusan idea sahajalah bile dah baca artikel ni
Salam.
Huraian individualistik (nafsi) sudahpun dibuat semasa pembentangan kertas ini di Kem Penggerak Masyarakat (KPM). Mungkin akibat kekurangan ruang dan masa, hanya konsep asas dan teras sahaja yang dimasukkan ke dalam tulisan ini.
Mungkin soalan-soalan daripada pembaca semua boleh memberi saya sedikit ruang untuk menghuraikan persoalan individulistik ini dengan lebih relevan dan aplikasinya dalam masyarakathari ini.
Konsep penggunaan ideologi lain (sosialis) seperti yang saya terangkan di atas sebenarnya bermaksud Islam tidak menghalang untuk menerima perkara yang baik daripada pihak lain, NAMUN, harus diberi sepenuh perhatian bahawa Islam bukanlah ‘menghalalkan cara berdasarkan niat’, tetapi Islam mengamalkan konsep ADIL. Cumanya hari ini, umat Islam menerima pakai konsep lain serta menolak Islam secara tidak sedar. Perkara yang paling pokok adalah mengamalkan suruhan-suruhan Allah s.w.t. seterusnya meraikan perkara lain, bukanlah mengiktirafnya.
Realiti hari ini, ramai umat Islam menuntut ilmu untuk menentang sekularisasi pemikiran tetapi secara tidak sedar mereka ini mendukung faham sekularisasi kerana konsep sekularisasi Islam diwarisi oleh mereka secara lisan sahaja, tanpa difahami melalui adab ilmu yang sahih.
Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Semoga bermanfaat untuk semua.
Kalo baca sekali imbas, aku nyaris nk tulis al-fadhil Pak Lah sebagai pentazkirah dlm buku tazkirah nie
Maybe terlalu tinggi tahap ilmu nie
sosialis??? mungkin bley hurai lg kot sosialis yg dh di-islamisasikn for next paper? x best la asyik² refer sosialis kanan je
Hehe.
Aku dulu nyaris-nyaris masuk sosialis. Kagum dengan kerja depa. Tapi, rupa-rupanya Islam dah lengkap dah. Ada benda yang sosialis tak dapat jawab dalam beberapa isu. Islam sahaja yang boleh jawab semua isu.
Sosialis yang diIslamisasikan? Hm, insya-Allah, aku try rujuk kat mana-mana.
hehe…. pelik ek istilah islamisasi. means amek yg baik + positif. Nabi pakai dinar + dirham dari zaman Rom, sistem kongsi yg di-islamisasikan [sejarah white flag & red flag yg wujud since 1851] dan byk lg
Terletak kat bahu kita sume utk buat Revolusi Iklim Dini
salam dari Batam Indonesia
http://hangtuahbatam.blogspot.com/
bagussss…setuju…go3x..
Assalamualaikum.. dan salam sejahtera…
Maafkan saya jika saya tersilap..
Bukankah Fatwa ini hanya untuk org Islam sahaja?? (Betulkan saya jika saya silap)
Tapi yang saya lihat di video tersebut.. dieorang tu dr golongan ISLAM ke??
Kalau Fatwa ini dilaksanakan..saya rasa tidak ada kaitan dengan yg bukan ISLAM..
Bagi kami agama kami.. dan bagi kamu agama kamu..
Kami ISLAM tidak pernah menyentuh apa yg agama kamu ingin laksanakan..
Dia mengatakan Sharifah Amani membotakkan kepala???
Didalam Islam(Agama Islam)HARAM bg seorang perempuan membotakkan kepala.. Apatah lagi menyerupai lelaki.. Saya rasa orang yang bukan ISLAM tidak perlulah mencampuri atau menyentuh apa yang kami lakukan untuk agama kami..