
Setelah Kassim Ahmad menerbitkan bukunya bertajuk Mencari Jalan Pulang – Dari Sosialisme Kepada Islam, hati saya sedikit gembira. Namun kegembiraan tersebut hanya sementara. Bukan jalan pulang yang dicarinya, malah Kassim Ahmad masih kuat berpegang kepada fahaman anti-Hadithnya! Baru-baru ini juga Kassim Ahmad tanpa ‘segan-silu’ menyiarkan semula tulisan anti-Hadithnya dalam blognya seolah-olah dia ‘menjerit’ kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia bahawa “saya sudah jumpa jalan pulang saya!”
Jalan mana yang dipilihnya? Mari kita sama-sama menilai semula ‘kepulangannya’ tadi.
Siapa Dia?
Kassim Ahmad (bekas Presiden Parti Sosialis Malaysia dari 1966 -84) dilahirkan di Kampung Kubang Tampang, Lepai, Kubang Pasu, Kedah, pada 9 September 1933, dengan nama Osman, tetapi diubah namanya kerana sering sakit ketika masih kecil, mendapat pendidikan awal di Sekolah Bandar Baharu, Kulim. Kassim meneruskan pengajiannya di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada 1949, lalu melanjutkan pengajiannya ke Universiti Malaya (UM) di Singapura pada 1955.
Dunia pengajian tinggi di negara republik itu turut mendedahkannya kepada pemikiran sosialisme dan Islam melalui kepustakaan dan percambahan fikiran bersama-sama rakannya yang masing-masing membina ketokohan tersendiri, selain mula membabitkan diri dalam Kelab Sosialis UM. Dengan sokongan Pensyarah UM Singapura, JC Bottoms, Kassim menyahut pelawaan untuk mengajar bahasa dan sastera Melayu di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London, pada 1962 hingga 1966.
Pembabitannya dalam politik pula menyaksikan beliau mengepalai Parti Sosialis Rakyat Malaysia selama 18 tahun bermula beliau pulang ke tanah air pada 1966, sebelum mengambil keputusan untuk berundur daripada gerakan itu pada 1984.

Kassim Ahmad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama hampir lima tahun yang turut mendorongnya membukukan pengalaman itu dalam memoir Universiti Kedua. Selepas mengundurkan diri daripada politik, Kassim Ahmad menubuhkan Jamā’ah al-Qur’ān Malaysia (JAM) yang mempunyai banyak persamaan dengan Sisters In Islam .Kassim Ahmad kemudian menghasilkan buku Hadith – Satu Penilaian Semula yang mencetuskan kontroversi sehingga dia dilabel sebagai anti-Hadith. Malah, Kassim Ahmad pernah menjadi pendokong Rashad Khalifa yang heboh dengan KOD 19 semasa itu.
Al-Qur’ān Peta, al-Sunnah Kompas Menuju Allah
Hadith (sunnah) ialah segala perkataan, perbuatan atau pengakuan Rasulullah s.a.w. ialah penyampai wahyu daripada Allah s.w.t. seperti dalam firman-Nya:
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia…”
[QS al-Mā’idah 5:67]
Baginda juga merupakan penerang al-Qur’ān. Firman Allah s.w.t.:
(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Zikr yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.”
[QS al-Nahl 16:44]
Kadangkala Rasulullah s.a.w. menerangkan ayat al-Qur’ān melalui perbuatannya dan ada kalanya juga baginda menerangkan menerusi perkataannya. Dan ada kalanya baginda menerangkan melalui perbuatan dan perkataan sekaligus. Sabda baginda:
Solatlah sepertimana kamu melihat aku bersolat.”
Dan sabda baginda lagi:
Ambillah daripadaku perbuatan-perbuatan haji.”
Kedua-dua sabda baginda ini merupakan penerangan daripada al-Qur’ān yang diterangkan secara umum. Tidak terdapat satu perbuatan pun yang semata-mata berpunca daripada sabda baginda melainkan perbuatan itu disebutkan oleh al-Qur’ān secara umum. Firman Allah s.w.t. di dalam al-Qur’ān:
…dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”
[QS al-Hasyr 59:7]
Dan firman-Nya lagi:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.”
[QS Āli ‘Imrān 3:32]
Para sahabat juga sepakat mengatakan hadith sebagai hujah. Tidak ada seorang pun daripada mereka yang hanya beramal dengan al-Qur’ān sahaja. Dan apa yang pernah diriwayatkan bahawa ada sebahagian daripada mereka yang menolak hadith yang diriwayatkan kepada mereka, bukan bermakna mereka menolaknya, tetapi dia tidak yakin dengan kesahihan hadith tersebut atau terdapat hadith lain yang baginya lebih kuat.
Dari segi logik akal pula, al-Qur’ān memberitahu kita bahawa Allah s.w.t. telah menurunkan al-Qur’ān kepada Rasulullah s.a.w. untuk diterangkan pula kepada manusia. Dan penerangan ini juga merupakan wahyu yang wajib dituruti. Seseorang tidak dikatakan sebagai taat sekiranya dia hanya patuh kepada ayat al-Qur’ān dengan tidak berpegang kepada orang yang menerangkannya kerana penerangan sampai bila-bila pun tidak dapat dipisahkan daripada orang yang menerangkannya. Sekiranya dia beramal dengan al-Qur’ān seperti yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w., maka dia telah taat kepada Allah s.w.t. melalui ayat al-Qur’ān dan taat juga kepada Rasulullah s.a.w. melalui penerangannya. Sekiranya dia mengabaikan penerangan Rasulullah s.a.w., maka dia telah berdosa kepada Allah s.w.t. kerana tidak beramal sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t.
Beberapa kumpulan yang ‘cacat’ daripada orang-orang yang mendakwa Islam telah menolak hadith sebagai sumber perundangan Islam. Mereka ini adalah golongan anti-Hadith. Mereka berkata:
Cukuplah al-Qur’ān. Apa yang Allah haramkan di dalam al-Qur’ān kami haramkannya dan apa yang dihalalkan oleh al-Qur’ān kami halalkannya.”
Kemudian mereka mengatakan al-Qur’ān telah menerangkan semua tanpa terkecuali sesuatu pun. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
…tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitāb al-Qur’ān ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”
[QS al-An‘ām 6:38]
Dan firman Allah s.w.t. lagi bermaksud:
…dan Kami turunkan kepadamu al-Kitāb menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.”
[QS al-Nahl 16:89]
Mereka juga berkata sunnah merupakan undang-undang yang lain dan tersendiri bertentangan dengan khabar-khabar Allah s.w.t. Mereka berpendapat apalah gunanya lagi al-Sunnah sekiranya Allah s.w.t. sudah pun menerangkan setiap sesuatu tanpa meninggalkan apa-apa lagi untuk diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.? Sebenarnya jawapan ini sudah pun diketahui oleh mereka sendiri. Tetapi mereka sengaja buat-buat tidak mengerti. Mereka mencari jalan keluar yang lain dengan menterjemah al-Qur’ān mengikut kehendak mereka. Mereka terpaksa lari daripada tafsiran Rasulullah s.a.w. dan sahabat r.a dan mencipta terjemahan yang lain daripada yang lain untuk mencipta kebenaran. Sebenarnya terjemahan mereka lari daripada kaedah Bahasa Arab. Al-Kitāb berasal daripada kata terbitan – kataba – kitābatan. Di dalam al-Qur’ān terdapat 318 perkataan yang berasal daripada kata terbitan kataba. Bagi perkataan al-Kitāb sahaja terdapat 230 perkataan manakala 12 perkataan Kitāb (tanpa alif lam). Ada juga perkataan al-Kitāb ini yang disebut secara kata jamak (Kutubun) sebanyak 3 perkataan. Untuk mengetahui makna-makna ini kita terpaksa merujuk kepada Bahasa Arab kerana al-Qur’ān itu diturunkan di dalam Bahasa Arab.
Jadi terjemahan al-Kitāb di dalam surah al-An‘ām ayat ke-38 bermakna al-Qur’ān bukanlah terjemahan yang sebenar mengikut mafhum Bahasa Arab. Al-Kitāb di dalam ayat itu bermaksud Lauh Mahfūdz, bukanlah al-Qur’ān. Dalilnya ayat yang sebelum itu menyebut yang bermaksud:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitāb al-Qur’ān ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).”
[QS al-An‘ām 6:38]
Dan ada sepotong ayat yang lain di dalam surah Hūd yang bermaksud:
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam al-Kitāb (Lauh Mahfūdz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
[QS Hūd 11:6]
Sekiranya kita menerima-pakai bahawa al-Kitāb di dalam ayat ini bermaksud al-Qur’ān seperti dakwaan mereka, tetapi ayat itu tidak membantu mereka menolak al-Sunnah. Segala hukum yang disebut oleh al-Qur’ān secara sepintas lalu, tidak mungkin dapat dilaksanakan jika tidak didapati perinciannya di dalam al-Sunnah. Mengabaikan al-Sunnah samalah seperti mengabaikan hukum-hukum yang disebut secara ringkas seperti firman-Nya:
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
[QS al-Baqarah 2:43]
Tanpa ada penerangan daripada al-Sunnah, kita tidak dapat menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Apabila tidak menunaikan solat dan mengeluarkan zakat kerana tidak ada perincian di dalam al-Qur’ān, bermakna kita telah mengabaikan suruhan Allah s.w.t. tersebut.
Asal-usul Anti-Hadith
Fahaman anti-Hadith atau Ingkar al-Sunnah di asaskan oleh Profesor Dr Goldziher, kelahiran Yahudi Hungary pada tahun 1870 dan meninggal pada tahun 1921. Goldziher mendapat biasiswa Zionis International Jerman untuk melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar pada tahun 1873. Dia diutus khas mendalami bidang al-Sunnah dan akhirnya dia mencetuskan ajaran mengingkari al-Sunnah dengan slogan “Pembaharuan Islam.”
Pada tahun 1876 sekembali dari Mesir, beliau memegang jawatan Setiausaha Zionis Antarabangsa cawangan Budapest. Kemudian selama 15 tahun dia mengajar di maktab Zionis Budapest untuk melahirkan graduan-graduan Zionis yang akan bertebaran di seluruh dunia mengembangkan ajaran mengingkari al-Sunnah ini bertujuan melemahkan ajaran Islam dari dalam. Pengasas ajaran Ingkar al-Sunnah ini meninggalkan hampir 200 judul karya khas dalam jurusan Mengingkari Sunnah dan melahirkan beratus ribuan graduan yang telah dirosakkan kefahaman mereka tentang al-Sunnah. Profesor Goldziher adalah salah satu agenda Zionis Antarabangsa.
Kebanyakan cendikiawan Islam yang menuntut di Eropah telah terpengaruh dengan ajaran Goldziher ini. Di antara murid-murid Goldziher termashyur dari Mesir ialah Dr Ali Hasan Abdul Kadir, Toha Hussin, Dr Ahmad Amin, Rashad Khalifa, dan Dr Abu Rayyah.
Jawab Imam Syafi’e
Catatan pertama tentang penolakan al-Sunnah pernah dituliskan oleh Imam Syafi’e (150H-204H) di dalam bukunya al-Umm. Menurut catatan tersebut, beliau telah berdebat dengan seorang anti-hadith. Tetapi tidak pula disebutkan siapa orang itu. Beliau hanya menyebutkan orang itu sebagai musuh (al-Khasm).
Kata al-Syafi’e:
Seorang daripada intelektual telah berkata kepadaku: Anda ialah seorang Arab. Al-Qur’ān diturunkan menurut bahasa anda. Tentulah anda lebih memahaminya. Di dalamnya terdapat hukum-hukum yang berupa fardhu. Sekiranya seseorang merasa syak di dalam satu huruf di dalam al-Qur’ān, dia diminta bertaubat. Sekiranya dia tidak bertaubat, anda membunuhnya sedangkan Allah berfirman yang bermaksud:
…dan Kami turunkan kepadamu al-Kitāb menjelaskan tiap-tiap sesuatu…”
[QS al-Nahl 16:89]
Jadi bagaimanakah anda dapat menentukan di mana tempat am dan ada kalanya pula anda mengatakan fardhu itu sebagai khas? Bagaimana anda dapat membezakan pula yang mana satu perintah yang wajib dan ada ketika yang lain pula anda mengatakan sebagai sunat atau harus. Pemisahan ini anda lakukan bedasarkan pula kepada satu riwayat, dua riwayat sehinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w. dan tidak aku dapati ada di kalangan mereka yang tersilap dan lupa pula di dalam riwayatnya. Bahkan aku mendapati anda juga pernah berkata kepada beberapa perawi: Si fulan ini telah tersilap di dalam hadith sekian. Dan aku mendapati juga bahawa anda pernah berkata, sekiranya seorang lelaki meriwayatkan hadith yang mengharamkan dan menghalalkan untuk kamu, anda mebuat kesimpulan bahawa hadith itu mengkhaskan umum “…dan Kami turunkan kepadamu al-Qur’ān menjelaskan tiap-tiap sesuatu…,” sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak pernah berkata demikian. Jadi anda telah tersilap besar. Anda meletakkan perkataan-perkataan dusta daripada perawi-perawi ini sama martabatnya dengan al-Qur’ān?”
Di dalam perdebatan tersebut, mereka memperkatakan tentang firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
…Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan al-Kitāb (al- Qur’ān) serta al-Hikmah (al-Sunnah), dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”
[QS al-Baqarah 2:151]
Kata musuh itu:
Aku tahu bahawa al-Kitāb itu ialah al-Qur’ān. Apa pula al-Hikmah?”
Imam Syafi’e berkata:
Sunnah Rasulullah s.a.w.”
Kata musuh itu:
Mungkin al-Hikmah itu al-Qur’ān. Jadi ayat itu bermaksud: Dia mengajar al-Kitāb secara amnya dan mengajar hukum-hukum secara khasnya pula.”
Jawab Imam Syafi’e:
Sekiranya engkau berkata begitu, jadi ayat ini bermaksud: Dia mengajar hukum-hukum al-Qur’ān yang disebut secara am seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. Ini bermaksud Allah menentukan sesuatu hukum di dalam kitab-Nya. Kemudian Dia menerangkan hukum-hukum ini menerusi lidah Rasul-Nya.”
Kata musuh itu:
Boleh jadi juga.”
Kata Imam al-Syafi’e:
Sekiranya anda berpegang dengan pendapat yang kedua (al-Hikmah bererti perincian terhadap makna al-Qur’ān), kamu tidak akan menjumpai hukum-hukum ini melainkan dengan hadith Rasulullah s.a.w.”
Kata musuh itu:
Kalau sekiranya aku berkata pula, al-Kitāb dan al-Hikmah ini termasuk di dalam jenis pengulangan perkataan?”
Jawab Imam Syafi’e:
Yang manakah lebih baik? Membawa satu makna di dalam dua perkataan ataupun masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza?”
Kata musuh itu:
Barangkali juga seperti apa yang kau katakan. Al-Kitāb ialah al-Qur’ān dan al-Hikmah pula ialah al-Sunnah. Dan keberangkalian lain juga akan berlaku: al-Kitāb ialah al-Hikmah itu sendiri.”
Imam Syafi’e berkata:
Tetapi yang paling jelas maknanya ialah yang pertama. Hal ini demikian kerana ada bukti-bukti yang membenarkannya daripada al-Qur’ān.”
Kata musuh itu:
Di mana?”
Kata Imam al-Syafi’e:
Firman Allah yang bermaksud:
Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (al-Qur’ān) dan al-Hikmah pengetahuan (hadith-hadith Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus Tadbir-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
[QS al-Ahzāb 33:34]
Di dalam ayat ini Allah s.w.t. memberitahu bahawa terdapat dua jenis bacaan yang terdapat di rumah.”
Musuh itu berkata:
Al-Qur’ān memang boleh dibaca. Tetapi bagaimana pula untuk membaca al-Hikmah?”
Imam Syafi’e berkata:
Jadi makna ‘membaca’ ialah membaca sunnah seperti membaca al-Qur’ān.”
Jawab musuh itu pula:
Oleh itu, maksud al-Hikmah lebih mirip kepada apa yang kamu maksudkan.”
Kesesatan Kassim Ahmad
Di mukasurat 54, dalam bukunya, Kassim Ahmad menulis:
Pada prinsipnya, ajaran al-Qur’ān mempunyai 2 dimensi: dimensi sejarah dan dimensi universal. Nabi Muhammad s.a.w. melaksanakan ajaran-ajaran ini dalam sebuah masyarakat konkrit Arab dalam abad ketujuh dengan sifat-sifat sebuah masyarakat suku dengan adat resam budaya yang khusus. Jadi, sebahagian dari peraturan yang disebut dalam al-Qur’ān (hukum potong tangan bagi pencuri, hukum sebat bagi penzina dan lain-lain yang sepertinya) mengendalikan keadaan masyarakat Arab ketika itu. Peraturan-peraturan ini tidak seharusnya dianggap mutlak dan tetap dan tidak boleh diubah-ubah, kerana tiap-tiap peraturan ini, Tuhan menetapkan prinsip-prinsipnya seperti persamaan antara lelaki dan wanita, persamaan antara manusia, dan hukuman adil dan ihsan bagi penjenayah. Dengan menggabungkan perspektif sejarah dan universal, barulah kita boleh memahami ajaran al-Qur’ān dengan tepat.”
Tulisan beliau ini mengundang kontroversi kerana membawa maksud penolakan terhadap sesuainya hukum Allah yang telah termaktub dalam al-Qur’ān. Semua ulama’ sepakat bahawa ayat-ayat muhkamat seperti hukum potong tangan bagi pencuri dan sebat bagi penzina merupakan hukum yang tetap (qat’ie) dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Bahkan sesiapa yang mempertikaikannya akan membawa kepada hukum murtad! Apabila beliau menyebut peraturan-peraturan ini tidak seharusnya dianggap mutlak dan tetap dan tidak boleh diubah-ubah, maka secara mafhum mukhalafah nya, ia membawa makna peraturan atau hukum dalam al-Qur’ān itu boleh diubah-ubah! Cari lah di mana-mana kitab muktabar, maka kita akan jumpa kesepakatan atau ijmak ulama’ bahawa hukum hudud dan qisas merupakan hukum yang tidak boleh dipinda-pinda lagi kerana ia sebagai lambang manifestasi Maha Adil Allah dan Maha Mengetahui serta Maha Bijaksana Allah s.w.t. dalam mengatur segala makhluk-Nya. Apabila orang seperti Kasim Ahmad ini mempertikaikan relevensi peraturan-peraturan itu, maka ia solah-olah mendakwa lebih mengetahui dan lebih bijaksana daripada Allah s.w.t. yang menciptanya sendiri!
Tulisan-tulisan beliau sentiasa mengundang kontroversi kerana ia berkait dengan aqidah umat Islam. Buku beliau Hadith – Satu Penilaian Semula yang diwartakan haram oleh kerajaan memang sudah tidak boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh tanahair melainkan kedai buku tersebut memang sengaja menyembunyikannya dari pihak berkuasa. Sepatutnya kerajaan bukan sahaja bertindak terhadap bukunya sahaja, bahkan atas batang tubuhnya juga. Tetapi realitinya tidak begitu, bahkan beliau bebas menulis di mana-mana termasuk dalam akhbar arus perdana, Utusan Malaysia.
Lebih memeningkan kalau dijenguk pada mukasurat 137, Kassim Ahmad mendakwa:
Mengikut al-Qur’ān juga, manusia akan menghukum dirinya sendiri. Konsep hukuman Tuhan itu hanya satu metafora bagi undang-undang alamiah atau undang-undang ilahiah. Syurga dan neraka ialah keadaan, bukan tempat, dan keadaan ini terdapat dalam kehidupan manusia kini di dunia ini. Dunia akhirat ialah dunia yang datang kemudian yang merupakan hasil usaha manusia kini.”
Apa hak dan kelayakan Kassim Ahmad dari sudut kesarjanaan Ilmu Islam untuk mengkhayalkan dan menyimpulkan bahawa hukuman Tuhan itu hanya metafora (simbolik), bukannya benar-benar akan berlaku di Alam Akhirat kelak? Beliau mengangkat dirinya seolah-olah seorang Mujtahid Mutlak dalam bidang aqidah padahal pandangan itu sudah dikira terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dengan kesepakatan ulama’. Kita umat Islam wajib percaya bahawa syurga dan neraka adalah benar-benar wujud bahkan sudah tersedia ada sekarang ini tetapi sudah tentu bukan di dunia fana ini! Beliau juga menolak pendapat bahawa syurga dan neraka merupakan tempat balasan. Beliau percaya bahawa syurga dan neraka merupakan keadaan semata-mata.
Kenyataan Kassim Ahmad yang lain, antaranya:
Seperti telah saya nyatakan dalam Bab I, apa yang dikatakan oleh kaum Sunnah Enam Buku ‘sahih’ yang dikumpul oleh Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ibn Majah dan al-Nasa’i tidak wujud pada waktu Nabi wafat, sepertimana al-Qur’ān sudah wujud, tetapi wujud hanya antara 210 hingga 230 tahun selepas Nabi wafat.
Mengapa? Bukankah hakikat ini saja menunjukkan bahawa Hadith satu perkembangan baru yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri? Beberapa orang sarjana Hadith moden telah berusaha kuat untuk membuktikan bahawa hadith-hadith telah dicatat pada waktu Nabi masih hidup lagi, dihafal dan diperturun kan dari generasi ke generasi hingga ke abad kedua Hijrah bila kumpulan-kumpulan rasmi dibuat.
Soalan yang masih tidak terjawab, walaupun sekiranya kita menerima kesimpulan mereka, ialah mengapakah kumpulan atau kumpulan-kumpulan rasmi Hadith tidak dibuat lebih awal, khasnya dalam pemerintahan khalifah-khalifah al-Rasyidun?”
Daripada kenyataan-kenyataannya diatas, Kassim Ahmad ‘berbau’ Astora Jabat bukan? Kassim Ahmad masih mencari jalan pulangnya, atau ‘pulang’ kepada pegangan kuatnya? – anti-Hadith.
Jumpa Sudah Jalan Pulang?
Kassim Ahmad menceritakan pengalaman sejak kecil hingga besar dalam menempuh kehidupannya yang berliku. Kassim Ahmad dalam buku ini tidak sekadar menceritakan pengalaman zaman kanak-kanaknya malah mencabar minda pembaca dalam beberapa bab. Selain itu Kassim Ahmad juga sibuk bercerita tentang pengalamannya menjadi seorang sosialis di UK sehinggalah beliau bertemu dengan “Islamnya”.
Kesimpulan akhir buku ini adalah Kassim Ahmad sekadar menemui sebatang jalan yang pada pandangannya Islam, namun agak dikesali tidak terdapat satu ayat pun yang menyatakan beliau bersalah bila mengarang buku Hadith – Satu Penilaian Semula.
Kepulangan Kassim Ahmad sudahpun dinilai dengan ilmu, bukan dengan nafsu. Masih belum terlambat untuk Kassim Ahmad segera pulang kepada kefahaman Islam yang sahih melalui bimbingan ulama’-ulama’ yang benar, namun persoalan yang lebih besar kepadanya ialah;
Adakah Kassim Ahmad benar-benar mahu pulang?”





Menarik tulisan ini…mungin boleh dijelaskan sedikit lagi dalam beberapa siri usrah MT akan datang, insyaAllah
saya melihat mengclassify kassim ahmad sebagai anti hadith sudah jadi macam satu cliche pulak. sedangkan dia sendiri setahu saya, tidak mengisytiharkan dirinya menolak hadith. kadangkala kita yang cepat membuat kesimpulan. biarlah soal mengatakan beliau terpesong dan tersesat, kita serahkan pada authoriti.
bukankah imam ahmad bin hanbal diisytiharkan sesat selama 3zaman khalifah yg berpegang kepada paksi muktazilah? dan akhirnya dipenghujung hayat beliau, beliau dibebaskan dan ternyata beliau tidak bersalah?
sebagai mahasiswa, bukan tugas kita menghukum sesat atau tidak. kelak, tiba2 pihak authoriti mengatakan pandangannya tentang sesuatu hal rupanya disalahtafsir, bukannya terpesong, rugilah kita kerana awal-awal tidak mendalami idea beliau.
saya melihatkan dia seorang yg mempelajari sesuatu dengan mempunyai sikap bertajarrud (membuang segala persepsi) untuk belajar sesuatu ilmu dan bereksperimentasi dalam sesuatu hal dan tidak susah mengubah pendapatnya apabila beliau rasa ianya salah.
beliau bukan seorang authoriti agama. dia cuma ahli falsafah. dekat sekali hubungan ilmu dan falsafah, cuma pihak agama tidak mahu menerima baik kehadiran ahli falsafah. itulah mudah sahaja kadangkala mereka mengkafirkan sahaja pendapat2 ahli falsafah.
jadi dilambakkan sahaja nas2 yang dibelajar di sekolah pondok dan timur tengah, campur sikit asal usul falsafah itu dari sudut musuh islam-zionist dan freemason misalnya, dan pastinya masyarakat umum termasuk mahasiswa akan menilai tulisan2 mereka dari perspektif prejudis. jika tidak berjaya, mudah aja. usulkan pengharaman buku kepada KDN, dan rampas sahaja buku dipasaran!
beliau tidak seperti sebahagian ulama, yang mengkafirkan ism-ism dari barat, socialism dan kapitalism, sebaliknya beliau sendiri terjun memahami socialisma, dan kemudian mempraktiskan idea itu dengan kembali ke malaysia dengan menubuhkan parti sosialis. saya tidak berapa pasti adakah kita mahasiswa ‘islam tulen’ berani membawa perubahan radikal di dalam PAS atau UMNO atau kita berani menubuhkan parti baru yang berasaskan ideologi yang relevan?
saya sudah membaca buku ini. agak mengecewakan. tidak byk input yang diperoleh dan beliau juga masih tidak berevolusi ke arah pencerahan. namun saya jadikan kisah hidupnya sebagai satu pengajaran menghadapi tribulasi.
selamat membaca!
anda sedang dalam ke jalan pemahaman tentang sesuatu, anda di jalan kebenaran
Salam,
Terima kasih atas respon acabeire yang sungguh baik. Mungkin sedikit keterangan untuk saya jelaskan tulisan ini.
Pertama, saya bukanlah mengkafirkan Kassim Ahmad atau ingin menghinanya secara terbuka sama sekali. Namun, seperti saudara katakan tadi, dia merupakan ahli falsafah, bukan authoriti dalam agama. Tidak salah jika ingin mengenengahkan idea ahli falsafah, namun Kassim Ahmad menyentuh persoalan hadtih yang bukan dalam bidangnya. Situasi ini menampakkan idea liberalisme hadith (keringanan terhadap hadith), walaupun dia tidak menggelar dirinya anti-hadith. Kawanan liberal Islam memang sama sekali tidak akan mengaku fahaman-fahaman yang mereka bawa hatta mereka tidak mengenal satu sama lain walaupun sama fahaman yang dibawa!
Kedua, saya juga tidak mengkafirkan secara terus isme-isme seperti kapitalisme, sosialisme, liberalime, atau seangkatannya. Namun, secara radikal fundamentalnya, beberapa aspek fahaman ini membawa kepada pembebasan serta kerosakan aqidah yang sangat dahsyat. Maka, sewajibnya ditolak beberapa aspek tadi sebagai langkah pencegahan awal. Malah, Islam adalah agama yang mengajar manusia ‘mencegah lebih baik dari mengubati’ jika di hayati semua suruhan-suruhan Allah s.w.t. serta Rasul-Nya.
Tidak dinafikan, beberapa aspek sosialisme juga terkandung di dalam al-Qur’ān dan al-Hadith bilamana Islam menjaga kepentingan kemanusiaan sebagai salah satu perjuangannya, namun harus diteliti dengan ilmu yang benar lagi sahih, bukankah Islam itu sudah lengkap? Mengapa hanya mengambil unsur sosialisme dalam Islam seraya menolak aspek ketuhanan serta hakikat kehidupan manusia di dunia? Jika Islam diterima, bukankah ‘sosialisme yang benar’ (sosialis kanan?) juga diterima secara rasionalnya?
Ketiga, bukan saya menolak Kassim Ahmad secara terus, tetapi saya hanya menolak ideanya yang bukan sahaja mengelirukan masyarakat, bahkan menambahkan lagi keyakinan golongan anti-Hadith untuk berpegang kepada fahaman anti-Hadith. Situasi ini mungkin lebih parah jika pencerahan kepada idea Kassim Ahmad tidak dibincang dan disebarkan. Oleh itu, jika dibaca dengan teliti, akhir kalam saya bertanya kepada Kassim Ahmad, “Adakah Kassim Ahmad benar-benar mahu pulang?” Jika jawapannya “Ya,” maka dia seharusnya mempelajari ilmu melalui adab-adab ilmu yang betul daripada ulama’-ulama’ yang muktabar khususnya di Malaysia. Bukan dengan menyiarkan fahaman keilmuan falsafahnya, lalu menyentuh sumber kedua syariah yang authentik dalam Islam – ulum al-Hadith – sebagai komennya terhadap Islam.
Doa saya buat Kassim Ahmad tidak pernah putus – supaya dia diberikan Allah s.w.t. pemahaman yang benar lagi sahih.
wei letak artikel pasal asal usul sister in islam la plak
best gak baca mung tulis ni
Sebelum 2002, aku x knal sape Kassim Ahmad nie sampai la nurul azmir @ akak hadiahkan kat aku Hikayat Hang Tuah susunan semula Kassim Ahmad. Buku tu hadiah Forum Remaja Kebangsaan 2002 kot
hai izzat..jadi ahli falsafah pulak ke skang?gud2..smapian yang berjaya.hehe
anda sekelian,
Kasim sekarang tinggal di Kulim, daerah saya tinggal. Anda boleh mai ke rumahnya.
Soal sekarang, dia bukan anti hadis, bukan falsafah dan bukan anti agama. orang macam kasim ramai lagi; mereka ialah golongan yang ego intelektual. merasa ilmu yang mereka miliki hasil dari disiplin konon, tidak setara dengan ilmu orang lain, lebih-lebih2 lagi lebai pondok.
Ini penyakit sebenarnya.
Salam: Azizi Hj Abdullah
anda tidak pernah memahami ilmu sebenarnya. belajarlah berfikir dengan akal budi.
Orang seperti Kassim Ahamd banyak membaca dan mengajar. Ego seperti dinyatakan oleh Tuan Azizi Hj Abdullah ini mungkin satu penyakit riak. Semoga Allah menjauhkan kita dari penyakit hati ini.
Apapun semoga Allah membimbing ilmuwan seperti Kassim Ahmad ini untuk lebih menulis pandangannya tentang Islam. Agar kita semua boleh menilai sendiri apa yang baik dan apa yang perlu dibetulkan.
Adakah anda semua telah membaca karya terakhir
Sdr. Kasim Ahmad. Bacalah bab permulaan di mana beliau menggunakan hadith sebagai mukadimmah
bukunya. Pada pandangan saya beliau tidak anti hadith. beliau hanya mahu hadith dinilai semula.
Untuk melabelkan seseorang sedbagai anti itu dan ini memang mudah. Untuk menuduh seseorang sebagai cetek dalam pengajian Islam juga mudah. Kita di Malaysia hebat dalam mempersendakan pendapat-pendapat orang-orang yang tidak sehaluan dengan kita. Saya tidak hairan dengan keadaan ini. Sebabnya Islam di Malaysia disempitkan. Lain dari pandangan biasa kita takut. Kita takut dengan pandangan wahabi. kita tak boleh ketengahkan pandangan mazhab-mazhab lain. Kita dikurung pemikiran dalam satu kerangka yang sampai bila-bila pun tidak membantu dalam mengembangkan kefahaman Islam.
Saya bersetuju dengan pendapat Haris Md Jadi. Saya tidak fikir saudara Kassim Ahmad merupakan golongan anti hadis. Beliau cuma mahu hadis dinilai semula
Kita ada banyak kategori hadis. Hadis maudhu, hadis dhaif, hadis sahih…persoalannya sejauhmana ilmu kita untuk membezakan hadis yang benar mahupun yang palsu?
Sering mendengar sesuatu hadis tidak bermakna hadis tersebut adalah shahih.
Bagi saya, hadis2 ini perlu dirujuk adakah bertepatan ataupun bersalahan dengan isu Al-Quran
Disebabkan itulah, perlunya kita untuk mempelajari bahasa arab supaya mudah bagi kita untuk memahami Al-Quran.
Apakah jaminannya bahawa tafsir2 Al-Quran yang wujud di pasaran itu benar 100%? Ya, kita tidak tahu kerana kita hanya mengikut apa yang dipersembahkan. Kita hanya mengikut kerana kita sendiri tidak tahu untuk menterjemahkannya.
Bukankah sekarang ini telah banyak dicanangkan bahawa kita tidak boleh bertaklid buta2 dengan ilmu yang kita perolehi.
Dalam pada kita mencari ilmu, kita mesti memohon daripada Allah supaya tidak disesatkan dgn ilmu kita sendiri.
Mohonlah agar ilmu kita dapat membantu kita daripada kesesatan
anda tidak pernah belajar berfikir sebenarnrnya..mungkin anda adalah jelmaan pendidikan negara kita mutakhir sebabnya anda hanya menghafal maklumat bukan menggunakan ilmu tulen..harapkan aizat berfikir dengan relaks.
Al-Quran adalah benar dan hadis adalah benar….
tapi orang yang berkenaan tidak cukup akal untuk faham….
seperti interpretasi sebahagian ulama (tak semua) dan terutamanya kassim Ahmad
Apa masala ngan hadis kassim oooooiiiii…
kasim ahmad..ada lah pemikir terhebat
banyak mambaca….dan hidupnya…banyak dgn ilmu
so…..org seperti ni..mmg bijaksana….dan berani
nak banding kan dgn u all…hanya pakturut…aje..
malas dan takut berfikir….tahu mengentam aje..
seperti…semut dgn gajah….darjah keintellktualan
kassim dibandingkan dgn u all semua..
HIDUP KASSIM AHMAD….U ARE THE GREAT THINKER..
kasim memang hebat …dia bukan anti hadis …
cuma dia mengajak kita menilai , befikir,,
bukan baca membuta tuli….
kassim ahmad kuarkan idea..dia suruh kita renungkn, n fikirkn,,,
Setiap nabi lagi rasul yg ujud seketika dahulu tidak datang tanpa musuh untuk menghalang perjuangan & ajaran Allah. Sama sperti yang sebelumnya, mereka tumpas di tangan musuh. Begitulah hendakNya demi mengasingkan yang beriman dari yang munafiq. Yang kafir itu nyata.
Mereka yang taksub kpd kitab selain Quran & mengagungkan manusia seperti tuhan boleh disimpulkan sebagai golongan anti Quran. Quran sahaja tidak mencukupi, mesti ada sampingannya Golongan ini adalah lebih merbahaya dari golongan anti hadis kerana mereka menyesatkan manusia dari ajaran Ilahi.
Pendek kata, kita hanya perlu mengenalpasti mereka yang anti Quran & asingkan mereka dari masyarakat supaya negara kita selamat dari kemurkaan Allah.
Kassim Ahmad bagus..banyak membaca dari ulama-ulama yg keluar dlm tv kita tu.aku suka orang macam ini.Alhamdulilah beliau membaca terjemahan(makna) al-quran dan hadis dan beliau masih tidak murtad sebab otak dia baguss..tak macam orang lain makin banyak baca terjemahan al-quran dan hadis makin tak percaya al-quran tu dr allah dan hadis tu menceritakan keburukan rasul allah..Kasim Ahmad keep it up with good work..