
AWAS!!! Anda sedang diperhatikan melalui kamera litar tertutup”
Saya sudah dapat menghafal tulisan ini setiap kali pintu lif di Desasiswa Restu terbuka.
Liar mata saya mencari kedudukan kamera tersebut. Tetapi pandangan saya hanya seimbas sahaja. Dipandang lama-lama takut muka dicam oleh pengawal sehingga menimbulkan syak wasangka. Namun di sudut kecil hati saya timbul persoalan yang sangat membimbangkan tatkala kewujudan kamera litar tertutup (CCTV) ini yang semakin bertambah di sekitar kawasan terbuka mahupun tertutup. Percaya atau tidak , CCTV adalah simbol kejatuhan peradaban manusia yang paling hina pernah tercatat dalam sejarah dunia.
CCTV dan Masyarakat
Dalam kes pembunuhan Nurin Jazlin yang lepas, selepas polis melakukan penyiasatan secara besar-besaran di samping bantuan yang menyeluruh daripada semua golongan masyarakat, dalang di sebalik tragedi yang menyayat hati ini belum lagi ditangkap mahupun dikenalpasti. Malah, rakaman CCTV yang menunjukkan pembunuh yang disyaki terlibat juga tidak dapat dicam oleh pihak polis sendiri. Selang beberapa lama, timbul pula kes kehilangan adik Sharlinie yang sehingga kini masih belum diketahui secara terperinci.

Pihak berkuasa tempatan pula giat melaburkan dana besar-besaran dalam memasang CCTV di sekitar kawasan yang dikenalpasti sebagai tempat kekerapan jenayah yang tinggi terutama ragut jalanan, rogol di kawasan yang jauh dari tumpuan orang ramai , peras ugut di lorong-lorong gelap, gangster, rompakan yang tertumpu di kawasan bank-bank, kecurian terutama di kawasan perumahan yang tiada pengawal keselamatan dan sebagainya. Malah dalam akhbar Berita Mingguan bertarikh 20 Julai 2008, penyelesaian ini diketengahkan juga oleh beberapa pihak yang berkenaan kepada sistem pendidikan sebagai penyelesaian utama kepada kes-kes juvana yang semakin melambak di sekolah-sekolah. Sekolah sudah menjadi ‘penjara’!
Manusia Berkiblat Dunia
Jika dikaji dengan teliti, mentaliti manusia yang hanya mementingkan keduniaan terutama harta, pangkat, serta kuasa menyebabkan kerosakan sistem masyarakat yang sangat kritikal. Hampir setiap orang tergila-gilakan keseronokan dan kepuasan fizikal semata-mata dalam mengejar ‘dunia’ yang diperkenalkan oleh barat – modenisasi hidup.
Persoalan hiburan yang melampau, urus niaga berteraskan keuntungan yang menindas, sosio-ekonomi yang bercampur halal haram, gaya hidup berkiblatkan barat, keselesaan yang berlebih-lebihan dan sebagainya kini menjerut leher masyarakat yang terlalu asyik dengan keduniaan sehingga tanpa disedari mereka melawan Allah s.w.t.
Sogokan keduniaan yang disalurkan oleh media cetak serta saluran informasi dan hiburan yang pelbagai di internet dan televisyen menyebabkan mentaliti masyarakat menjadi bernafsu dalam mengejar keseronokan. Pemikiran masyarakat sudah tertumpu kepada istilah ‘MEWAH’, ‘MODEN’, dan ‘MATERIAL’. Kebahagiaan manusia juga diiktiraf umum jika memenuhi ketiga-tiga kriteria ini. Ternyata, peradaban manusia sudah hancur.
Makanannya tidak lagi nasi lemak atau roti canai. Semua sudah bertukar kepada breakfast di McDonald. Minumannya bukan lagi sirap bandung tetapi bertukar kepada Coca-Cola. Namun, mereka tidak sedar idealogi serta kerosakan yang dibawa di sebalik jenama yang dipopularkan oleh barat ini. Malah, di barat sendiri, jenama-jenama ini ditentang habis-habisan dan dipulaukan kerana orang-orang barat banyak membaca dan mengkaji serta mempunyai kesedaran yang tinggi dalam membawa kehidupan mereka termasuk masyarakat di sekelilingnya ke arah yang lebih baik.
Siapa harus dipersalahkan? Orang yang melambakkan keseronokan kepada masyarakat atau orang yang sedar mengenai hal ini namun tidak berbuat apa-apa? Tepuk kepala tanya minda.
Ber‘aqidah’kan Teknologi
Pemasangan CCTV jika dilihat dengan teliti dan matang sebenarnya adalah untuk mengawal tingkahlaku manusia yang sudah tidak boleh dipercayai. Malah, teknologi yang diperkenalkan ini juga dipercayai dapat mengurangkan kadar jenayah serta keburukan akhlak oleh semua pihak. Maka perkembangan teknologi ini diterima pakai sebagai ‘pengawal’ akhlak manusia, namun tanpa disedari, manusia sudah tidak percaya kepada Yang Maha Melihat, iaitu Allah s.w.t.

Peningkatan jenayah di sekolah pula dilihat sebagai satu kesilapan sistem pendidikan berteraskan barat dalam membentuk manusia yang lebih beradab. Pertambahan bilangan pelajar yang disingkirkan dari sekolah akibat kes-kes jenayah bukanlah satu penyelsaian pendidikan berlandaskan Islam. Malah, Islam menyeru kepada umatnya supaya mendidik manusia tanpa mengira latar belakang agar mereka menjadi insan yang benar-benar beradab sebagai hamba kepada Penciptanya, dan sebagai khalifah bagi semua makhluk di muka bumi.
Persoalan falsafah pendidikan serta peranan guru sebagai murabbi kepada anak-anak murid perlu diteliti dan dinilai dengan telus oleh semua pihak lebih-lebih lagi para penggubal polisi pendidikan. Konsep pendidikan berteraskan Islam haruslah dikembalikan semula setelah sekian lama kita mewarisi sistem pendidikan barat selepas era kolonialisasi.

Seorang pemandu teragak-agak untuk melanggar lampu isyarat merah di simpang jalan pada jam 3 pagi kerana takutkan kamera litar tertutup. Namun adakah dia teragak-agak untuk tidak solat atau minum arak di rumah sedangkan tidak ada sesiapa yang mengetahui dia berbuat atau tidak berbuat sedemikian?
Kayu ukurnya ialah keimanan kepada Allah s.w.t yang benar-benar mantap.
Kembali Faham Islam
Tidak ada penyelesaian yang lain melainkan kembali kepada Islam. Pemasangan CCTV sebagai kawalan kepada kes-kes jenayah hanyalah menimbulkan rasa hipokrit semata-mata. Tidak dinafikan, kadar jenayah mungkin lebih rendah jika dibandingkan selepas pemasangan CCTV ini tetapi jenayah yang lebih besar adalah jenayah syirik kepada Allah s.w.t dengan mengimani CCTV sebagai kayu ukur untuk berbuat baik.

Sampai bila peradaban manusia akan dikawal oleh teknologi? Mungkinkah suatu hari nanti manusia terpaksa menanam cip komputer dalam otak masing-masing lalu diisyaratkan ke Putrajaya sebagai tindakan terakhir bagi mengawal kelakuan manusia yang semakin hari semakin biadap?
Hakikatnya, manusia sudah diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w dalam menanam ‘cip’ aqidah yang sahih dan terus menerus dihubungkan kepada Allah s.w.t sebagai Pengawal segala kelakuan manusia melalui ilmu serta iman kepada-Nya. Sebagai timbal balik, Allah s.w.t menjanjikan syurga dan neraka kepada hambanya mengikut keimanan mereka.
Serangan ke atas Islam dari pelbagai sudut terutama aqidah menyebabkan pegangan muslim terhadap agamanya sendiri kian longgar. Ancaman ajaran sesat yang semakin bertambah, serangan oleh golongan Islam Liberal, tentangan yang tidak putus-putus daripada golongan yang membenci Islam, penyalahgunaan kuasa agama dalam politik, pengeksploitasian Islam untuk kepentingan peribadi dan lain-lain lagi menyebabkan Islam menjadi kutukan masyarakat yang tidak memahami dengan jelas ajaran yang diredhai oleh Allah s.w.t ini. Tidak hairanlah jika kebanyakan kes-kes jenayah berat yang berlaku melibatkan sebahagian besar golongan muslim. Pemahaman Islam yang sebenar dalam setiap aspek kehidupan perlu ditekankan supaya kehidupan manusia akan menjadi lebih teratur serta stabil.
Islam itu sudah lengkap, tetapi muslim itu belum lengkap jika belum faham Islam dengan lengkap.





persoalan besar adalah bagaimana utk setiap muslim yang sedar supaya dapat bertindak. adakah sekadar berfikir dan berbincang? tepuk dada tanya iman.
baguslah kalau saudara dah sedar… tapi kalau saudara ada jalan penyeleaian lagi bagus…
penulisan artikel yang cukup mantap..tahniah bro!!
Salam,
Terima kasih atas komen-komen yang diberikan.
Merujuk kepada soalan penjejakawan, di sini saya letakkan penyelesaian yang berkemungkinan, mengikut kemampuan masing-masing:
1. Mempelajari semula aqidah Islam dalam kelas-kelas agama yang dianjurkan di masjid-masjid atau lain-lain. Pembelajaran aqidah ini mestilah secara berterusan walaupun usia semakin meningkat kerana persoalan aqidah merupakan keutamaan yang paling asas dalam Islam. Akar aqidah inilah yang akan menjaga manusia dalam semua persoalan aspek kehidupan seharian, walaupun timbul pelbagai isu-isu yang semakin rumit dan pelik. Malah, menurut Maqasid al-Syari’ah, menjaga aqidah terletak pada kewajipan yang pertama.
2. Pembebasan diri dari kesenangan dunia yang melampau. Teknologi sebenarnya adalah untuk mememudahkan manusia dalam melakukan kerja-kerja seharian, bukan untuk manusia itu sendiri bergantung harap sepenuhnya sehingga boleh dijadikan penyelesaian kepada semua permasalahan masyarakat terutama berkaitan akhlak dan sosial. Pengenalan kepada teknologi insinerator contohnya, merupakan satu kegagalan manusia dalam membentuk peribadi yang ada kesedaran dan cintakan alam sekitar. Insinerator bukan penyelesaian, malah menimbulkan lebih banyak kerosakan. Penyelesaiannya? Manusia perlu sedar tanggungjawab sebagai khalifah yang mengurus alam sekitar dengan sebaik-baiknya. Pengurusan ini dikira sebagai ibadat jika matlamatnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t dalam konteks khalifah. Indah bukan Islam? (Nota: Peringatan buat MB Kedah, Ustaz Azizan. Jadilah khalifah, jangan lepas ni jadi sejarah)
3. Penglibatan umat Islam secara serius dalam masalah-masalah sosial, alam sekitar, pertanian, perindustrian, ekonomi, dan sebagainya. Kurangkan sedikit tumpuan kepada politik yang terlalu menumpu kepada persoalan peribadi ahli politik sehingga kita terlepas pandang umat Islam yang benar-benar memerlukan kita. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh Alauwiyat menekankan keutamaan menjaga masyarakat (isu sejagat) itu lebih tinggi daripada keutamaan menjaga individu (isu peribadi). Pemahaman Islam secara menyeluruh, bukan sahaja amalan ritual, patut dibahas dan disebarkan kepada masyarakat umum supaya pemikiran mereka lebih terbuka dan terdidik. Kita perlu mengilmukan masyarakat, bukan mengapi-apikan masyarakat.
4. Semua persoalan umat Islam sudah diselesaikan dalam al-Quran dan al-Sunnah yang diwariskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya. Peranan kita ialah membincangkan intipati kedua-dua sumber ini untuk digunapakai dalam menyelesaikan masalah seharian. Tumpuan kepada hadith-hadith sahih yang bersifat kontemporari mestilah ditekankan selain daripada hadith yang bersifat ibadat khusus semata-mata. Contohnya, terlalu banyak hadith yang membicarakan soal jual beli serta pertanian. Malah, persoalan pengharaman ’simpan stok barang’ untuk menaikkan harga pasaran juga dicatatkan dalam sebuah hadith yang masyhur. Persoalan adab manusia dengan tumbuhan, haiwan, tanah, dan jual beli dalam pertanian juga banyak disebut dalam hadith-hadith. Masalahnya ialah umat Islam sendiri tidak pernah membincangkan hadith ini untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
5. Tidak dapat lari daripada membela Islam secara habis-habisan, walaupun kita terpaksa berkorban harta, pangkat, kuasa, nyawa, keluarga, masa, malah parti politik sekalipun! Islam itu datang dalam pemahaman lalu dizahirkan dalam pembawakan. Yang dibela adalah Islam, bukan membela penggunaan nama Islam dalam mana-mana badan atau parti!
begitulah keadaan manusia akhior zaman. Semuanya dah bercelaru, akal tonggang tebalik, Tidak ada keyakinan jitu pd allah. Hanya sekadar kepercayaan atau lebih tepat lagi ikut-ikutan.
Masanya telah sangathampir. Sudah bersediakah kita
semoga Allah beri kekuatan pada akhi untuk terus berjuang…teruskan perjuanganmu ,saudaraku…
Terlalu sedikit umat islam yang benar benar menghayati dan memahami hakikat iman dan islam itu sendiri. Malah ada yang tidak pasti dan tahu siapa yang disembahnya tiap hari. Yang menyedihkan lagi ialah ada yang tidak faham langsung apa yang dibacanya dalam solat 5 waktu baik yang wajib mahupun yang sunat. Apatahlagi memahami serta mengerti isi kandungan alquraan itu sendiri. Ianya seolah-olah burung yang pandai berkata2 tanpa faham apa yang dikatakannya.
Ramai antara kita yang ada mata, tapi buta, ada telinga tapi pekak, ada akal tapi jahil. Ruhnya sakit dan lemah.
Orang alim yang diberi kuasa tidak berani menyatakan yang benar. Yang halal dikatakan haram dan sebaliknya.
Inilah dunia akhir zaman.
‘alaika wa ‘alaihi al-salam
SALAM hanya kepada orang yang dirahmati ALLAH serta para mukmin dan mukminat yang bertakwa.
salam dari-NYA; salam hak-NYA; salam dikembalikan pada-NYA
wa alhamdulillahir Rabbil ‘alamin
jat ruangan download lagu bila nak letak…