
Dewasa ini umat Islam di Malaysia khususnya dapat mengamalkan cara hidup Islam yang tulen tanpa sekatan atau ancaman daripada mana-mana pihak jika dibandingkan dengan masyarakat Islam di luar negara. Kita sangat bersyukur iklim Islam di Malaysia terbentuk dengan sihat dan harmoni.
Program-program keagamaan dianjur dengan besar-besaran dan dibiayai oleh kebanyakan golongan korporat. Konsep pakaian menutup aurat misalnya, mendapat tempat di hati masyarakat Islam sehingga fesyen ini diangkat ke peringkat antarabangsa. Malah unsur batik juga disinergikan ke dalam fesyen menutup aurat ini bagi mempopularkan budaya Melayu yang kian terhakis.
Namun keadaan ini sebenarnya mengundang impak negatif yang lebih besar jika dikaji dengan telus dan teliti. Niat sebenar untuk menutup aurat pada mulanya adalah atas dasar syariat, tetapi makin lama masyarakat semakin hanyut dibawa arus gaya hidup modenisasi. Tidak hairanlah niat untuk mengamalkan syariat tadi berubah menjadi sebaliknya.
Tunduk Kepada Syariat, Bukan Nafsu
Wanita adalah golongan yang difokuskan dalam perbincangan ini atas sebab situasi fesyen yang lebih menekankan konsep pakaian wanita serta definisi aurat wanita yang terlalu mudah untuk dilanggari. Tidak dinafikan juga kepada kaum lelaki yang lebih mementingkan penampilan daripada sekadar keperluan menutup aurat (golongan ini digelar metroseksual).

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Māi’dah ayat 77:
Katakanlah: “Hai ahli kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”
[QS al-Māi’dah 5:77]
Dalam ayat di atas Allah s.w.t. memperingatkan golongan yang beriman (dahulunya adalah ahli kitab, sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w.) supaya tidak berlebih-lebihan dan melampau dalam urusan beragama. Syariat yang diturunkan kepada manusia wajib diikuti tanpa soal bicara tetapi mestilah melalui pemahaman ilmu dalam al-Quran dan as-Sunnah. Inilah keindahan Islam yang sebenar.
Syariat Dijenamakan
Jika dilihat situasi hari ini, konsep fesyen menutup aurat di Malaysia khususnya, dipopularkan dengan jenama pakaian tertentu yang mahal harganya. Malah konsep yang diperkenalkan mengambil unsur ‘tutup aurat’ sahaja lalu diberi nafas baru dalam industri fesyen. Maka nilai sebenar syariat tidak dititikberatkan malah dinodai dengan potongan badan tertentu tanpa disedari.
Firman Allah dalam surah al-A’rāf ayat 31:
Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid1, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan2. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.
[QS al-A’rāf 7:31]

Islam lebih menekankan persoalan pakaian yang indah dalam beribadat. Pakaian di dalam masjid perlulah didahulukan dengan menutup aurat seterusnya pakaian yang indah tetapi tidak melampau. Pakaian yang menutup aurat tetapi tidak sesuai di dalam masjid haruslah dielakkan. Pakaian yang indah tetapi tidak menutup aurat pula sangat dikecam dalam Islam terhadap umatnya. Ini kerana persoalan aurat adalah prioriti dalam pemakaian. Allah s.w.t. mengingatkan manusia terhadap hukum syariat jika dilanggari:
Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya siksa yang menghinakan.
[QS an-Nisā’ 4:14]
Heret Syariat, Kejar Hidup
Fesyen menutup aurat yang dipopularkan dewasa ini menuntut penganutnya supaya mengikut arus perubahan semasa. Daripada jenis fabrik yang digunakan, potongan pakaian yang ‘up to date’, solekan khas bagi melengkapkan penampilan, rekabentuk tas tangan yang sedondon dengan fabrik, tema pakaian yang mengikut suasana serta acara, jenama kasut yang mengindahkan lagi golongan Hawa ini, hinggalah ke persoalan gaya berjalan serta ‘akhlak’ apabila di dalam sesuatu majlis tertentu. Hambatan persoalan inilah yang memesongkan konsep sebenar menutup aurat itu.
Duit yang dibelanjakan bagi memenuhi tuntutan ini sangat tidak relevan. Harga set baju kadang-kala mencecah hampir RM500. Ini belum lagi ditambah dengan tas tangan yang sedondon, kasut yang secocok dengan tema pakaian, gincu yang sesuai dengan suasana majlis, maskara yang berkualiti. Kesemua ini boleh dianggarkan berjumlah hampir RM3000++. Hambatan gaya moden inilah antara punca umat Islam kian terpesong akhlaknya dan hilang nilai sensitif dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri. Perkara ini harus dipandang serius oleh semua pihak serta langkah menangani wajar diambil segera.
Firman Allah dalam al-Quran:
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.
[QS al-Furqān 25:67]
…Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.
[QS al-An’ām 6:141]
…Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
[QS al-Baqarah 2:190]
Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas.
[QS al-‘Alaq 96:6]
Ujian Rezeki
Walaupun sumber kewangan yang dimiliki kukuh serta melimpah-ruah, Islam tidak sama sekali menganjurkan umatnya supaya berlebihan dalam berbelanja tambahan pula dalam persoalan berkaitan hukum-hakam. Islam mendidik umatnya supaya bersederhana dalam segala segi kehidupan dan menaruh segala pengharapan kepada Allah semata-mata. Segala jenis harta yang dimiliki adalah kepunyaan Allah s.w.t. secara mutlak. Harta ini hanyalah amanah daripada-Nya sebagai ujian serta rezeki kurniaan-Nya.
Firman Allah dalam al-Quran:
Makanlah di antara rezeki yang baik yang telah Kami berikan kepadamu, dan janganlah melampaui batas padanya, yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barangsiapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah ia.
[QS Thāhā 20:81]
Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.
[QS asy-Syūrā 42:27]
Dunia Hanya Sementara
Umat Islam hari ini diancam dengan berbagai jenis ‘maksiat alaf baru’. Kecanggihan teknologi maklumat menyebabkan kita semakin mengikut arus perubahan pemikiran serta gaya hidup yang mewah. Keadaan ini sedikit sebanyak memanjakan para pendokong dakwah Islam terutamanya dalam menegakkan kesucian syariat Islam di Malaysia. Perkara ini sepatutnya tidak menjadi halangan atau cabaran utama kepada penggerak dakwah tetapi atas dasar ‘al-wahan’, ramai antara mereka yang lalai serta dibuai ayunan dunia fana.
Setiap umat Islam wajib memperingati sahabat-sahabat yang lain jika mereka semakin longlai dan lemah dalam menggerakkan dakwah Islamiah. Peringatan yang berupa nasihat mestilah disebarkan kepada semua umat Islam supaya kesedaran dalam merungkai segala permasalahan umat kini dapat dilakukan bersama-sama secara berkesan. Semoga kesucian syariat Islam dapat ditegakkan tanpa bercampur-aduk dengan kebatilan.
Firman Allah dalam surah al-‘Ashr:
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
[QS al-‘Ashr 103:1-3]
*Baca juga ‘Aurat’ Lama Terbuka, Melatah Baru Nak Mula, dan Mengejar Dunia
1 Maksudnya: tiap-tiap akan mengerjakan sembahyang atau thawaf keliling ka’bah atau ibadat-ibadat yang lain.
2 Maksudnya: janganlah melampaui batas yang diperlukan oleh tubuh dan jangan pula melampaui batas-batas makanan yang dihalalkan.





bagus kupasan kali ini..
alhamdulillah…di harap dapat disebarkan dengan meluas artikel ini.Moga pengisian ini di mantapkan lagi dengan bukti2nya…
minta izin penulis utk di ‘copy & paste’ dgn hak cipta terpelihara
dipersilakan…
semoga beroleh keberkatan…
maklumat yg sgt2 baik buat kaum hawa yg semakin terleka dek pengaruh pakaian yg ‘cantik2′ di pasaran…smoga satu hari hati mereka dibuka oleh-Nya..minta izinkan tuk sy sebarkan pd yg len..syukraan jazilan..
Saya sedih karena UU Pornografi yang kini tengah di DPR RI (Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia) ternyata mendapat penolakan dari berbagai daerah, dengan alasan membatasi kreatiavitas seni dan tidak menghargai keanekaragaman.
Lebih sedih lagi karena sebagian dari yang menolak pemberlakuan UU Anti Pornografi itu adalah umat Islam sendiri, padahal mereka tahu hukumnya menutup aurat.
Nauzubillahi minzalik.
Semoga saya, isteri, dan anak-anak saya terhindari dari hal seperti itu. Semoga saya, isteri, dan anak-anak saya semua beriman dan takut kepada Allah SWT. Aamiinn
[...] juga Dosa Menutup Aurat [...]
[...] *Baca juga Dosa Menutup Aurat [...]
saya senang karena islam ternyata meski dunia sudah tua bahkan hampir runtuh sampai2 manusia juga tidak mengenal adab dan norma tapi negara malaysia tetap memprtahankan adab islam itu sebagaimana mestinya, tapi kenapa penduduk indonesia selalu terbawa bawa dengan adat barat yang tidak bermoral.
assalamualaikum.. mnta izin ana copy bbrpa ayt dlm artikel ni ye..
Waalaikumussalam…
Dipersilakan…
salam,..abg izzat,..bru jumpa blog abg izzat…bgus post ni…perlu dberi pndedahn..apa pndpt abg izzat kain telekung dr sutera??
Salam Liza.
Abg akan letak dalam blog dan emel kat Liza sekali.
Abg nak perbaiki artikel ni dan cuba hantar ke Majalah-i, Aniqah dan Solusi. Insha-Allah.
Maaf sebab artikel ni berkecamuk sikit susunan ayat. Ni artikel pertama dalam blog DM.